JATUH CINTA DENGAN KAWAN BAIK
Kawan yang selama ini kamu
kenali sudah bertahun-tahun lamanya, tiba-tiba membuatkan hati anda
berdebar-debar dan jatuh cinta.
Adakah hubungan ini akan
berjalan dengan lancar?
JIKA dahulu, kamu menganggap
dirinya seorang sahabat sejati, sanggup berkongsi suka dan duka serta menjadi
teman yang paling setia mendengar masalah anda, kini lain pula situasinya.
Apa yang berlaku kini ialah
situasi yang dilalui kamu berdua tiba-tiba menjadi suatu kejutan besar bak
dentuman gunung berapi yang memuntahkan laharnya. Kawan yang selama ini
dimahkotakan sebagai teman biasa kini bertukar menjadi kekasih istimewa kamu.
Persoalannya, adakah hubungan
kamu akan berjalan dengan lancar sekiranya bercinta dengan sahabat sendiri?
Adakah dia juga merasakan hal yang sama seperti kamu? Dan adakah kamu harus
menyatakan perasaan itu terhadapnya?
Begitulah yang akan berlaku
sekiranya hati seorang sahabat seperti kamu mengalami perubahan cinta yang
drastik setelah sekian lama berkawan biasa dengannya.
Apabila kamu dilamun cinta
dengan teman biasa, perlu diteliti semua aspek peribadinya, sebelum sesuatu
hubungan itu menjadi bertambah intim. Takut nanti, ‘yang dikejar tak dapat,
yang dikendong berciciran’.
Kata orang, bercinta dengan
sahabat sendiri akan mencetuskan kekangan dalam sesebuah perhubungan. Sekiranya
kamu khuatir persahabatan itu akan berakhir dengan saling benci-membenci, kamu
harus mempertimbangkan aspek pro dan kontranya.
Kelebihan
1-Kamu harus menyukai seluruh
peribadinya. Kamu juga perlu tahu bagaimana perubahan hatinya, apakah yang
membuatkan dia bahagia sekiranya menjalin hubungan cinta dengan kamu dan apakah
perkara yang perlu dihindari.
2-Kamu sanggup melewati suka
dan duka bersama, tidak kira apa juga rintangan yang dihadapi berbanding
sewaktu menjalinkan hubungan persahabatan dahulu.
3-Kamu mengenali ibu bapanya
dan diterima baik oleh mereka. Yang pasti, kamu seharusnya mempunyai
nilai-nilai positif yang membawa ke arah kebahagiaan kedua-dua belah pihak.
Kekurangan
1-Memandangkan kamu berdua
sudah mengenali perilaku masing-masing, maka tiada lagi hal-hal yang boleh
membuatkan kamu perlu bertanya atau mencipta keterujaan. Ia mungkin menimbulkan
rasa bosan jika anda masih mahu melakukannya.
2-Anda meminati karakternya
ketika bergelar sahabat. Tetapi tidak mustahil karakter itu boleh berubah
setelah hubungan yang dibina bertukar menjadi kekasih.
3-Malah sikap seperti cemburu
dan syak wasangka yang melampau mungkin antara sikap yang tidak pernah anda
sangka muncul pada si dia yang dahulunya hanya seorang teman biasa.
4-Sebagai sahabat, hubungan
kamu berdua dilihat bertambah baik, tetapi ia berubah setelah menjadi teman
istimewa. Kamu akan kehilangan orang yang selalu menjadi pendengar yang baik.
Dan siapa yang akan menjadi
pendengar setia apabila dia yang menjadi topik pembicaraan kamu?
Risiko bercinta dengan
sahabat?
Daripada segi pro dan kontra
yang telah disenaraikan, aspek kontra lebih berkemungkinan membawa kamu ke arah
kehancuran sebuah persahabatan yang begitu indah.
Kamu merasakan telah
mengenali hatinya dengan baik sebagai sahabat, tetapi sebagai kekasih segalanya
akan berubah.
Sementara aspek lain pula,
terdapat risiko yang harus kamu hadapi apabila berterus-terang mengenai
perasaan. Jangan meluahkan perasaan ini kerana ia akan muncul sekiranya kamu
cuba menahan dan menyembunyikannya.
Duduk dengan tenang,
pertimbangkan aspek pro dan kontranya. Jangan lupa, risiko yang mungkin
terjadi. Ingat, kamu tidak akan mengetahui sejauh manakah perasaannya terhadap
kamu sekiranya kamu takut untuk cuba bertanya sendiri.
Apabila kamu berdua berjaya
mengungkap perasaan cinta itu, mungkin pada awalnya ia akan menimbulkan sedikit
kejanggalan, tetapi kesudahannya, ia akan berakhir dengan kegembiraan. Selamat
mencuba.
0 comments:
Post a Comment
Sila tinggalkan komen anda di sini ok . ckp jew la apa korang nak ckp ! i will feed ur comment back ~ hoho . :D